Ciri-Ciri Golongan Munafik

on . Posted in Umum

MUNAFIK

Munafik merupakan satu kalimah yang tidak asing untuk disebut dan didengar kita saban hari dan masa tetapi hakikat yang sebenar tentangnya kadang-kadang masih samar dalam pemikiran kita. Tidak dapat dinafikan bahawa sifat-sifat yang menjadi pegangan golongan munafik kadang-kadang dihidapi oleh kita samada dalam keadaan sedar atau pun tidak seperti suka menipu, melanggar janji dan mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas bahu kita. Dalam memastikan diri kita tidak terjerumus dalam lembah munafik maka wajar kita renungi beberapa ciri-ciri golongan munafik sebagaimana diberitahu oleh Allah dalam al-quran dan juga rasulNya ke arah menghindarkan diri kita daripada bersifat dengan sifat itu yang boleh membahayakan aqidah dan diri kita terutama pada hari akhirat nanti. Mengetahui perkara buruk bukan beerti kita mahu menirunya tetapi bertujuan untuk menghindarinya sedaya yang mungkin sebagaimana ungkapan imam al-Ghazali : -

Sesungguhnya mengetahui perkara negatif itu bukan untuk mengikutinya sebagai teladan tetapi bertujuan untuk menghindarinya dan dijadikan sempadan.

Munafik ialah orang-orang yang berpura-pura keimanannya dimana pada zahirnya nampak beriman dengan lidahnya mengakui keesaan Allah dan kerasulan nabi Muhammad s.a.w sedangkan pada hakikat batinnya yang sebenar penuh dengan kekufuran dan kesesatan. Mereka menentang kebenaran dengan kebatilan, menjual petunjuk membeli kesatan, memilih kufur menolak iman, memperjuangkan bid'ah ganti daripada sunnah dan memilih azab daripada nikmat. Munafik terbahagi kepada 2 iaitu:-

  • Munafik iktiqad iaiatu pegangan terhadap pokok persoalan iman bersikap dan bersifat nifaq atau penipuan maka golongan ini kekal dalam neraka, sekiranya mati tanpa bertaubat kepada Allah dan memperbetulkan semula iktiqadnya.
  • Munafik amali iaitu amalan-amalan dalam ibadatnya bersifat nifaq atau penipuan seperti beramal kerana seseorang atau sesuatu selain Allah. Golongan ini melakukan dosa yang memerlukan agar bertaubat kepada Allah. Mereka akan dimasukkan ke syurga sesudah diazabkan dalam neraka.

 

Ciri - Ciri Golongan Munafik

1. Berpenyakit hati
Maksud firman Allah dalam ayat 10 surah al-Baqarah yang bermaksud : Dalam hati mereka ada penyakit. Maka Allah tambahkan lagi penyakit itu, kepada mereka dan mereka akan mendapat seksa yang pedih dengan sebab mereka berdusta terhadap kebenaran. Antara penyakit hati yang disebutkan dalam ayat itu ialah sebagaimana berikut :

  • Kebodohan diri sendiri di mana golongan munafik terlalu yakin bahawa segala kerja jahat mereka tidak akan diketahui dan disedari oleh orang mukmin sedangkan mereka lupa bahawa Allah mengetahui segala-galanya.
  • Tidak berpendirian di mana mereka sentiasa merasa cemas dan bimbang kepada suasana sekitar yang mana tetap akan kembali kepada Islam dengan pertolongan Allah dan akan terhapusnya kebatilan. Mereka sentiasa mencari jalan penghalang agar kebenaran dapat dikaburkan dan dipandang serong.
  • Menentang kebenaran iaitu dengan menghalang dan menfitnah orang yang benar-benar berjuang di jalan Allah agar segala kejahatan dan penipuan mereka selama ini dengan menjual dan mencipta Islam palsu tidak terbongkar dan disedari oleh orang  ramai. Benarlah firman Allah dalam ayat 64-65 surah at-Taubah yang bermaksud :-

    Orang-orang munafik itu takut jika diturunkan kepada mereka satu surah yang memberitahu apa yang (tersembunyi) di hati mereka. Katakanlah kepada orang-orang munafik itu : "Ejeklah lagi! sesungguhnya Allah akan melahirkan apa yang kamu takutkan itu". Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu mereka akan menjawab: " Kami hanya bercakap-cakap dan bermain-main sahaja". Katakanlah :" Adakah Allah dan keterangan- keteranganNya serta rasulNya mahu kamu perolok-olokkan?.."

  • Berperasaan syak terhadap agama. Firman Allah dalam ayat 125 surah at-Taubah yang bermaksud : Dan adapun orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka, (hanyalah) menambah kekotoran bersama kekotoran mereka (yang sedia ada) dan mereka mati dalam keadaan kufur.

 

Mereka sentiasa berperasaan syak terhadap kemampuan sistem Islam dalam menjamin kemajuan dan keadilan sepanjang zaman, syak tentang keamanan dan kestabilan jika pelaksaan hukum Islam dijalankan.

2. Melakukan kebinasaan di muka bumi. Firman Allah dalam ayat 11-12 surah al-Baqarah yang bermaksud :-

Dan apabila dikatakan kepada mereka itu, janganlah kamu membuat kebinasaan (kemungkaran) di muka bumi mereka menjawab : "Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebajikan (untuk kepentingan manusia). Ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka ialah sebenar-benar orang membuat kebinasaan (kemungkaran) tetapi mereka tidak menyedarinya.

Golongan ini sentiasa merancang dan berusaha ke arah menjauhkan umat manusia daripada Islam yang menjamin keamanan sejagat melalui media massa, mendapat bantuan daripada kuffar termasuk yahudi dalam menghadapi kebangkitan gerakan Islam dan menggadaikan agama dengan menghinanya sehingga menakutkan orang belum Islam sehingga wujudnya suasana yang tegang dan takut kepada Islam. Mereka lebih gembira melihat keadaan yang penuh kekeliruan dan kekecohan daripada melihat bangkitnya Islam dengan kebenarannya.

3. Menuduh orang mukmin dengan bodoh dan tolol. Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Baqarah yang bermaksud :-

Dan tatkala dikatakan kepada mereka, berimanlah kamu sebagaimana orang ramai beriman. Jawab mereka : " Adakah patut kami beriman sebagaimana telah beriman orang-orang bodoh dan tolol itu?". Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang-orang yang benar-benar bodoh dan tolol tetapi mereka tidak mengetahuinya.

Mereka sanggup menghina ulama' yang lebih arif tentang Islam dan sanggup hina nabi s.a.w dan Islam itu sendiri kerana merasai bahawa mereka lebih cerdik dan pakar dalam bab agama dan keduniaan. Mereka berusaha menjadikan para mufti, qadhi dan ulama' sebagai orang yang patuh dan taat pada kejahilan mereka demi menjaga pangkat dan kedudukan mereka. Agama hanya digunakan untuk menangkis dan menyembunyikan penipuan mereka terhadap Islam. Mereka lebih rela meminta nasihat daripada orang kafir dan anti-hadis daripada menerima teguran daripada ulama' akhirat.

4. Kuat permusuhan dan bongkak dengan dosa. Firman Allah dalam ayat 204-206 surah al-Baqarah yang bermaksud :-

Dan diantara manusia itu, ada setengahnya yang menyebabkan engkau tertarik hati kepada percakapan mereka (yang lunak dan menarik) semasa hidup di dunia. Dan dia bersumpah (dengan nama Allah bahawa segala yang dikatakan itu adalah benar) kepada Allah akan apa yang di dalam hatinya sedangkan dia sebenarnya orang yang paling kuat permusuhannya terhadapmu. Dan apabila ia berpaling (apabila mendapat hajatnya) berusahalah dia di muka bumi Allah untuk melakukan kerosakan dan kebinasaan, dirosakkannya tanaman dan ternakan dan Allah tidak menyukai kerosakan dan kebinasaan itu. Dan apabila dikatakan kepadanya :-

" Bertaqwalah kepada Allah". Maka timbullah kesombongannya dengan meneruskan melakukan dosa. Maka cukuplah neraka jahannam sebagai balasannya dan demi sesungguhnya neraka jahannam itu seburuk-buruk tempat balasan.

Ayat ini menunjukan bagaimana buruknya perangai orang munafik dan petahnya mereka bercakap sehingga ramai orang beriman tertarik dengan tutur katanya yang lembut, ucapan yang menarik dan penuh hujah aqli yang mengelirukan malah mereka sanggup bersumpah bagi menyatakan ketulusun hati mereka sedangkan mereka berniat jahat dan melakukan semua itu untuk memperolehi sesuatu yang diidamkan. Mereka sanggup mencipta Islam dan meletakkan mereka yang mampu memutar belit tentang Islam sebagai perisai sehingga mengelirukan rakyat untuk mendapatkan sokongan. Setelah mereka mendapat sokongan hasil propaganda yang menggadai prinsip Islam yang sebenar maka mereka menggunakan kuasa yang telah diperolehi itu untuk mengaut kekayaan negara untuk mereka dan kroni mereka dan juga menyekat kemaraan gerakan Islam dengan meng'gam' ulama', membuang imam yang tidak menyokong kezaliman dan kesesatan mereka, mengawal peranan masjid yang sebenar dan sebagainya.

Inilah antara ciri-ciri munafik yang jelas berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Peranan kita ialah berusaha menghindarinya daripada diri kita, keluarga dan masyarakat setempat seterusnya negara dengan berusaha memberi penjelasan yang sebaik mungkin agar umat Islam tidak tertipu buat sekian kalinya. Sesungguhnya seorang mukmin itu tidak akan terjatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.

Comments (0)

800 characters remaining

Cancel or

Pelawat

2613043
Hari Ini
Semalam
Minggu Ini
Minggu Lepas
Bulan Ini
Bulan Lepas
All Days
1042
960
6843
2254693
1042
34871
2613043

IP Anda: 54.82.166.45

шаблоны joomla 2.5