Mengumpat: Antara yang diharuskan dan diharamkan

on . Posted in Fiqh

Apabila Islam mengharuskan orang untuk menyatakan keburukan orang lain, orang yang tidak faham atau kurang ilmu serta tidak bertanggungjawab akan mudah menggunakan alasan ini untuk mengumpat. Perbuatan ini lebih menjurus kepada memporak perandakan orang ramai daripada mengundang kebaikan dan keadilan. Dua dosa diperolehi walaupun bermula dengan niat baik iaitu hanyalah untuk mengelakkan penderitaan atau kemaslahatan orang ramai.

Ghibah atau mengumpat merupakan satu perkara yang amat dilarang dalam Islam. Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).

Lihatlah betapa besarnya dosa orang yang mengumpat. Ringan di mulut, berat timbangannya di akhirat. Yakni ringan sahaja untuk kita mengumpat, tetapi dosa itu teramat berat dan besar di sisi Allah. Perkara ini terlalu biasa bagi kita sehingga tidak sedar akan dosa-dosa dari perbuatan mengumpat.

Pun begitu, di dalam Islam terdapat perkara-perkara yang mengharuskan atau membolehkan kita untuk mengumpat atau menceritakan keburukan orang lain. Sebagaimana terdapat di dalam beberapa hadis dengan huraian yang jelas dan dapat difahami di dalam kitab-kitab muktabar seperti Riyadhus Salihin karangan Imam Nawawi. Apakah jenis mengumpat yang dibolehkan dan apakah disiplin-disiplin serta prinsip yang membolehkan seseorang itu mengumpat dengan maksud yang dibolehkan oleh syarak. Disiplin-disiplin inilah yang mesti ditekankan secara terperinci sebelum seseorang itu mendedahkan kesalahan orang lain yang mana ia akan dipertanggungjawabkan dan akan dibicarakan di mahkamah Allah pada hari akhirat kelak.

Perkara pertama yang perlu ditekankan adalah adakah dengan perbuatan mendedahkan kesalahan orang lain ini boleh menyebabkan orang lain berhati-hati atau boleh menyebabkan orang lain berjaga-jaga daripada keburukan yang dibawa oleh orang yang didedahkan keburukan tersebut? Jika ini berlaku, maka ia dibolehkan. Contohnya, jika kaum tertentu mempunyai sikap yang tidak elok seperti suka memukul orang lain, tidak menjaga harta benda orang lain, suka memaki hamun, maka kita dibenarkan menyatakan keburukan kaum tersebut kepada orang lain agar lebih berhati-hati terhadap mereka. Demi untuk menjaga kebajikan dan kemaslahatan di pihak yang lain.

Tetapi, jika perbuatan mendedahkan kesalahan seseorang boleh menyebabkan orang lain memandang rendah kepada orang yang kita dedahkan kesalahannya, memperlekehkannya, mentertawakannya, mengejek serta menghinanya, maka ia adalah mengumpat yang termasuk di dalam perkara haram. Mengumpat disini bukanlah untuk kemaslahatan orang lain, tetapi hanya suka-suka ataupun niat yang buruk dan sikap yang berlebih-lebihan. Inilah yang ditekankan oleh Allah di dalam Quran yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruksangka (kecurigaan), karena sebagian dari buruksangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.(QS 49:12)

Justeru itu, sasaran ataupun tujuan untuk mendedahkan kesalahan orang itu perlu jelas dan mempunyai matlamat yang dibenarkan. Niat seseorang itu mestilah betul dan ikhlas dalam memperkatakan keburukan seseorang itu. Yakni yang boleh memudaratkan orang ramai jika tidak diperkatakan. Bukanlah dengan niat mendapatkan pangkat, kuasa, wang mahupun kerusi politik. Tetapi niat tersebut hanyalah untuk mengelakkan penderitaan atau untuk kemaslahatan orang lain semata-mata. Mereka-mereka yang dizalimi juga dibenarkan untuk memberitahu kesalahan orang yang menzaliminya kepada orang lain agar pembelaan yang adil dapat dilakukan sebagaimana dalam firman Allah dalam al-quran: Allah tidak menyukai ucapan buruk, (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (QS 4:148)

Perkara kedua yang perlu ditekankan dan yang paling penting adalah kesahihan sesuatu maklumat. Keburukan atau benda yang tidak baik yang hendak dinyatakan itu mestilah benar dan sahih semata-mata. Jika tidak, ia akan jatuh ke lembah fitnah. Apabila Islam mengharuskan orang untuk menyatakan keburukan orang lain, orang yang tidak faham atau kurang ilmu serta tidak bertanggungjawab akan mudah menggunakan alasan ini untuk mengumpat. Perbuatan ini lebih menjurus kepada memporak perandakan orang ramai daripada mengundang kebaikan dan keadilan. Dua dosa diperolehi walaupun bermula dengan niat baik iaitu hanyalah untuk mengelakkan penderitaan atau kemaslahatan orang ramai.

Jalan yang paling selamat, adalah jika sesuatu berita itu masih samar-samar dan tidak dapat dipastikan kesahihannya. Jangan terus menyebarkan berita-berita tersebut kerana bimbang tidak berada di pihak yang benar. Islam amat menekankan supaya kita berhati-hati terhadap berita-berita yang dibawa oleh kaum fasik. Islam juga amat menititberatkan dan menyuruh kita menyemak dan mengkaji dahulu berita-berita yang kita terima. Allah menjelaskan di dalam Al-Quran yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (QS 49:6)

Walaupun mengumpat itu dibolehkah dengan syarat-syarat tertentu, tetapi dalil-dalil dan nas amat menitikberatkan supaya kita jangan mengumpat atau membuka aib sesama muslim. Juga jangan memikirkan, menilai dan mencari-cari kesalahan orang lain. Kita tidak diberikan hak untuk menilai dan mendedahkan aib atau maruah orang dan juga tidak diberi hak untuk menghukum. Kecuali dengan hukuman dari Allah samaada di dunia ataupun di akhirat. Tetapi jika ianya melibatkan masyarakat seperti membunuh, mencuri, merompak, rasuah dan sebagainya, perkara ini wajib kita dedahkan jika telah mempunyai bukti. Adapun yang melibatkan aib dan maruah seseorang yang tersembunyi, serahkan kepada Allah S.W.T. Kita tidak berhak menilai dan menghukum.

Justeru itu, jauhilah mengumpat dan berhati-hati dalam setiap perkara yang diperkatakan. Teliti dahulu apakah akibat, kesan sebelum dan selepas kita mendedahkan keburukan orang lain. Atas tiket Islam membenarkan mengumpat, akan jadi lah umat yang suka mengumpat jika tidak dikawal. Wujudlah suasana yang tidak harmoni dan kurang kasih sayang antara satu sama lain. Dengan tujuan-tujuan atau kepentingan yang tertentu, umpatan dibenarkan berleluasa. Maka, hentikanlah perbuatan mengumpat, memaki hamun, mencela dan sebagainya yang dilarang oleh Islam. Mengumpat itu boleh, tetapi teliti dahulu adakah umpatan itu tergolongan dalam umpatan yang dibenarkan atau diharamkan. Tepuklah dada, tanyalah Iman. Di pihak manakah kita dalam memperkatakan keburukan orang lain. Adakah harus, wajib, makruh atau haram? Jika tersilap, nerakalah tempatnya. Nauzubillah Himinzalik

Maka, janganlah mengumpat dan memperkatakan keburukan orang lain yang tidak izinkan syarak. Sabda Rasulullah S.A.W. “wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis riwayat Abu Daud)

Comments (0)

800 characters remaining

Cancel or

Pelawat

2568237
Hari Ini
Semalam
Minggu Ini
Minggu Lepas
Bulan Ini
Bulan Lepas
All Days
528
2029
2557
2216827
23002
32045
2568237

IP Anda: 54.92.241.157

шаблоны joomla 2.5