Your Opportunity Place Dot Net

Penyakit Melabel Ilmuan Islam

Cukup hairan melihat telatah anak-anak muda yang menisbahkan diri mereka kepada manhaj Salaf dan Sunnah, tetapi laluan dakwahnya menyimpang dari pendekatan para salaf yang sebenar.

Salafikah pendekatan kita jika tumpuan dakwah hanyalah pada mengaibkan sekalian ulama dan ustaz yang dilihat tidak sealiran dengan cara kita?

Manhaj Salafikah kita jika begitu mudah menggelarkan ulama dan para ustaz  yang dilihat tidak sealiran dengan kita dengan pelbagai gelaran dan jolokan.

Sunnahkah kita jika zikir di lidah ialah, “Syeikh Fulan adalah Khawarij”, “Ustaz Fulan adalah Qutubiy”, “Ustaz Fulan adalah golongan Qardhawiyyun”, “Ana melihat Ustaz ini adalah Hizbiy”, “Syeikh Fulan pula adalah Ikhwaniy”, “Dia adalah neo-khariji”.

Cukup ajaib dengan manhaj seperti ini. Alangkah beraninya mereka ini menyibukkan diri dengan keaiban orang lain sedangkan para salaf amat gerun dengan perbuatan demikian.

Abu Hatim Ibn Hibban mengatakan: “Wajib atas orang berakal untuk sentiasa bebas daripada perlakuan mencari-cari keaiban orang lain, dan sentiasa menyibukkan diri dengan memperelokkan keaiban diri sendiri. Sesungguhnya sesiapa yang menyibukkan dirinya dengan keaiban diri sendiri, dia akan merehatkan badannya dan tidak meletihkan hatinya. Kerana setiap kali dia mengesani suatu aib pada dirinya, dia akan bersikap mudah jika melihat aib yang sama pada saudaranya. Dan sesiapa yang menyibukkan diri dengan keaiban orang lain tanpa mengendahkan aib dirinya, hatinya akan buta dan badannya akan letih”. (Rawdhah al-Uqala)

Manhaj salafikah kita jika tidak ada sifat bijaksana dan warak dalam diri untuk menuturkan keaiban orang lain dan menyebarkan pula di blog-blog atau di wall facebook masing-masing? Syair Arab mengatakan:

المرء إن كان عاقلا ورعا * أشغله عن عيوب غيره ورعه

Jika seseorang itu berakal dan warak,
Kewarakannya akan melekakannya dari aib orang lain.

Manhaj Salafikah kita jika melabelkan ahli-ahli ilmu yang banyak berkhidmat kepada dakwah dengan gelaran yang menyakitkan dan menjauhkan orang dari kebaikan? Di manakah akhlak kita berbanding dengan akhlak tokoh ulama Salaf, Imam Syafie yang mengatakan, “Apabila seseorang mahu berkata-kata maka berfikirkah. Jika ternyata bahawa ia tidak memberi kemudaratan ke atasnya, maka bertuturlah. Jika ternyata bahawa terdapat kemudaratan atau dia ragu-ragu padanya, maka tahanlah (dari bercakap)”.  (Syarah Sahih Muslim 2/19) Di manakah kebaikannya dengan melabelkan para ahli ilmu dengan pelbagai jolokan kecuali mengundang keburukan dan kefasadan dalam masyarakat.

Sunnahkah kita apabila kita melabelkan para ilmuan dengan gelaran yang boleh merendahkan pandangan orang lain kepada mereka? Di manakah amalan sunnah kita terhadap hadis Nabi S.A.W yang bermaksud, “Cukuplah sebagai satu keburukan pada seseorang, dengan merendah-rendahkan saudaranya yang muslim”. (Sahih Muslim 4/1986).

Si anak murid pula, jika sudah tahu manhaj gurunya yang tidak menjaga lidah dan tidak warak terhadap ulama, janganlah menyibukkan diri dengan bertanya Tok Guru jenis ini, “Guruku, apa pandangan tuan terhadap Ustaz Fulan?”, “Apakah pula manhaj Syeikh Fulan?”. Para salaf yang sebenar tidak gemar dengan persoalan-persoalan sebegini. Pernah satu hari seorang datang kepada Ibn Abbas dan bertanya, “Mereka menyebut tentang Fulan..”. Lantas Ibn Abbas berkata, “Kalau kamu mahu menyebut aib-aib saudaramu itu, sebutlah aib-aib kamu”. (Syuab al-Iman 9/110)

Sama-sama kita perelokkan keaiban diri kita sendiri, menghiasi lidah kita dengan kalimah-kalimah yang baik, menjauhi dari perkataan-perkataan buruk, berfikir di hati sebelum berucap, beringat akan malaikat yang mencatit amalan sebelum kita mencatat sebarang perkataan di blog atau facebook. Kerana silap haribulan, binasa diri.

Bak kata orang Melayu, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perkataan buruk padahnya”. Jika sudah terlajak, bersegeralah bertaubat kepada Tuhan.

كتبتُ وقد أيقنتُ يوم كتابتِي … بأنَّ يدي تفنَى ويبقى كتابُها

فإن عملَت خيراً ستُجزى بمثله … وإن عملت شرًّا عليَّ حسابُها

“Aku mencatat sedangkan aku yakin pada hari aku mencatat,

Bahawa tanganku akan binasa, tulisannya jua yang kekal,

Jika tanganku melakukan kebaikan, ia akan dibalas setimpalnya,

Jika ia melakukan keburukan, aku yang akan dihisab”.

Wallahu Waliyy al-Taufiq.

Abu Umair

12 April 2012

Beza Iman Seorang Mukmin Dan Munafik

Munafik & Mukmin

Bagaimana mengenal seorang mukmin dan munafik ?

Jawapannya ialah dengan melihat tahap keimanan dan pergantungan mereka kepada Allah SWT.

Seorang mukmin itu amat yakin kepada Allah SWT dan bersangka baik serta optimis terhadap janji-janji-Nya. Manakala seorang munafiq pula amat kurang keyakinan kepada Allah SWT, penuh ragu-ragu dan sangsi terhadap rahmat dan kekuasaan Allah SWT.

Bagi seorang munafik, dia lebih percaya kepada usaha dirinya sendiri, logik dan kekuatan yang dapat dilihat dengan mata kepala serta jumlah dan kebesaran makhluk daripada kekuasaan Allah !

Contohnya :

Di padang pasir yang tandus, seorang mukmin yang memiliki secawan air adalah lebih tenang daripada seorang munafik yang memiliki sebuah oasis !

Walaupun mempunyai hanya secawan air namun orang yang beriman akan yakin dan tahu bahawa ajalnya, takdirnya sudah tertulis dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT selepas berusaha dan meneruskan perjalanannya dengan penuh keyakinan.

Firman Allah SWT : “Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (takdir) Allah jika Dia menghendaki bencana ke atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?" Dan tidak ada bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah.” (Al-Ahzab : 17)

Manakala seorang munafik itu pula akan begitu takut dan bimbang kalau-kalau oasisnya itu kering, hujang tidak turun dan ada pula orang lain yang akan mencuri air dari oasisnya.

Allah SWT berfirman tentang mereka: ‘Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan Hari akhirat," pada hal mereka itu sesungguhnya bukanlah orang-orang yang beriman (Munafik).” (Al-Baqarah : 8)

Bertawakallah kepada Allah SWT kerana disitulah sumber kekuatan jiwa. Manusia tidak akan mampu tidur dengan lena atau tersenyum suka jika dia memikirkan seribu satu macam masalah yang menimpa dirinya. Hanya dengan tawakkal barulah dia dapat menelan semua masalah itu menjadi sebuah hidangan jiwa yang membesarkan peribadinya dan menguatkan pemikirannya menjadi manusia yang lebih hebat dari sebelumnya.

Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda :


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ قَالَهَا إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام حِينَ أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَقَالَهَا مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ قَالُوا إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

Dari Ibnu Abbas ra, “Hasbunallah wani’mal Wakil’ kalimah yang dibaca oleh Nabi Ibrahim as ketika dilempar ke dalam api, dan juga telah dibaca oleh Nabi Muhammad SAW ketika digertak oleh orang kafir, yang berkata: “Sesungguhnya manusia telah berkumpul untuk menghancurkan kamu, maka takutlah kamu kepada mereka, tetapi keadaan itu hanya membuatkan orang-orang yang itu beriman bertambah imannya dan mereka pun membaca, Hasbunallah wa ni’mal Wakil yang bermaksud (Cukuplah Allah yang bagi kami dan sebaik-baik nikmat sebagai tempat kami bertawakal.” (Hadith riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT : “Dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Anfaal : 61)

Kerana Siapa Kita Berbeza Pendapat?

Berbeza Pendapat

Perbezaan pendapat ialah suatu kemestian yang mesti dihadapi oleh semua manusia dan hal ini adalah disebabkan kerana perbezaan pendapat termasuk di antara ujian Allah SWT kepada kita semua untuk melihat siapakah di antara kita yang layak menjadi orang yang beriman dan siapakah pula yang tidak.

Firman Allah SWT : “Jikalau Tuhanmu mengkehendaki, tentu Dia mampu menjadikan manusia umat yang satu, tetapi (Allah mahu) mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka (untuk diuji) . Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.” (Hud : 118-119)

Allah SWT dengan jelas telah memberitahu kita bahawa manusia memang telah ditakdirkan untuk senantiasa berbeza pendapat dan itu adalah termasuk di antara ujian Allah untuk melihat cara kita mengendalikan perbezaan tersebut apakah sebagai seorang yang beriman atau tidak.

Kerana siapa kita berbeza pendapat ?

Itulah soalan yang patut kita bertanya kepada diri kita sendiri !

Orang yang berbeza pendapat kerana Allah tidak akan memutuskan silaturahim, mencela atau menghina orang yang tidak bersetuju dengannya. Manakala orang yang berbeza pendapat kerana kepentingan dunia pasti akan memutuskan pertalian, mencela dan menghina orang lain kerana kepentingannya telah terjejas dan nafsunya tidak dapat dipenuhi. Percayalah kita berselisih bukan kerana hujah tetapi kerana ada kepentingan !

Kita mungkin boleh berkata saya hanya mengikut siapa yang lebih sahih dan kerana itu saya berpendapat sekian dan sekian kerana hujahnya lebih sahih.

Iika benar dakwaan kita itu maka cubalah pandang ke bawah dan bermuhasabah diri terlebih dahulu di kumpulan manakah kita berada. Kita belum pernah pun sempat mengkaji seluruh isi Al-Quran dan As-sunnah sebelum ini tetapi telah memilih parti A, jamaah B, atau kumpulan C sebagai jalan dalam hidup kita.

Apakah kita telah selesai mengkaji Al-Quran dan As-sunnah sehingga boleh membuat dakwaan sebegitu mudah bahawa saya hanya mengikut apa yang sahih ?

Kita tidak pernah pun mengkaji !

Konsep Sederhana (Wasatiy) & K-FIQH 2012

Konvensyen Fiqh Ummah 2012

Hasil dari Pertemuan Sebahagian Para Ustaz & Da'i Malaysia yang dianjurkan sejak 26 Mei 2011 yang lalu, telah beberapa kali pertemuan ( sekitar 6-7 kali) dan hasil perbincangan yang berlangsung, fokus perbincangan kami lebih kepada membincangkan kaedah untuk memperkenalkan satu kefahaman ilmu-ilmu Islam berteraskan displin yang sederhana pada penghayatannya namun jitu pada prinsipnya.

Menyedari umat Islam yang cintakan kebaikan dan Islam kini sedikit keliru disebabkan begitu banyak sumber yang wujud, dari pelbagai medium seperti internet, buku, majalah, blog, facebook, ceramah, fatwa dari dalam dan luar Negara, maka menurut observasinya, didapati lambakan sumber-sumber ilmu sebegini, yang sebahagiannya masih mentah (raw), belum sedia dijamah oleh orang awam tapi telah dijamahnya lalu mengakibatkan kelencungan dalam pola pemikiran dan pendekatan serta kefahaman.

Atas kesedaran dan tanggungjawab serta kepercayaan sebahagian masyarakat terhadap sebahagian besar di antara kami adalah menjadi kewajiban atas kami untuk membantu menyebarluaskan pendekatan kefahaman ilmu-ilmu Islam yang kami yakini sesuai serta baik (jika bukan yang terbaik) pada penilaian ilmu kami yang serba sederhana.

Kami juga sepakat lagi menyedari bahawa ilmu kami adalah sederhana, namun dengan pertemuan kerap di antara para ustaz dan dai’ ini diharap mampu menampung sebahagian besar kelemahan kami di antara satu sama lain, seterusnya mampu mencipta persepakatan , menambat ukhuwwah dan memudahkan jalan untuk menggerakkan dakwah kepada ummah yang kini semakin ramai yang mendambakan bimbingan dan ilmu.

Justeru, melalui KONVENSYEN FIQH UMMAH 2012 (K-FIQH 2012) ini, kami amat berharap dapat membentangkan ‘blue print’ utama untuk membantu masyarakat dari segenap latarbelakang dari sudut mendapat kefahaman yang baik terhadap pelbagai aspek ilmu Islam.

Setakat keupayaan masa yang ada antara topik yang akan dibentangkan adalah

  1. Aqidah dan pendekatan ilmunya
  2. Ibadah
  3. Kefahaman teks Al-Quran dan Al-hadith
  4. Kewangan dan ekonomi
  5. Penyucian jiwa (Tazkiyatun Nafs)
  6. Politik (Siyasah)
  7. Gaya Hidup
  8. Pendidikan
  9. Kefahaman khazanah silam (turath)
  10. Dakwah

Melalui KONVENSYEN FIQH UMMAH 2012 ini,  InshaAllah, kami akan membentangkan hasil keputusan dan kajian yang dipersetujui bersama, bagi manfaat ummat. Mendaftarlah sementara tempat masih ada, pendaftaran dibuka hari ini.

Ceramah Countdown KL 2012

Ceramah Countdown KL 2012

Assalammualaikum.

Alhamdulillah. Berbanyak ribuan terima kasih kepada penganjur yang akan mengadakan Ceramah Countdown KL 2012 pada kali ini. Saya berharap ceramah-ceramah sebegini boleh mengambil alih konsert-konsert 'lagha' yang sering diadakan bagi menyambut kedatangan tahun baru. Ini bermakna sebahagian umat Islam pada hari ini boleh mengambil inisiatif daripada terlibat kepada perkara maksiat, beralih arah 360 darjah kepada perkara kebaikan.

Seperti kebiasaan negara-negara lain, pada setiap hujung tahun yakni pada tarikh 'keramat' 31 Disember, konsert dan maksiat akan disambut dengan meriah sekali dan ini adalah merupakan perkara normal bagi mereka. Bagi negara yang penduduknya majoriti Islam, acara sebegini adalah haram dianjurkan apatah lagi menyertainya.

Maka dengan adanya ceramah ini dapat membawa manusia kembali kepada fitrah dan menjauhi kejahilan. Saya menyeru kepada para sahabat dan pengunjung setia laman web ini disebar luaskan maklumat ini kepada orang ramai. Dengan usaha yang sedikit itu mungkin dapat memberi gambaran awal bahawa dengan sokongan orang ramai kepada perkara sebaik ini dapat menghindarkan manusia daripada terus 'tidur' dalam kegelapan dan kejahilan.

Oleh itu marilah kita bersama-sama meraikan majlis ilmu ini dengan penuh kesyukuran dan semoga kita semua beroleh rahmat daripada Allah SWT. Amin.

Usahlah anda merempit, meminum arak dan melakukan zina. Usahlah anda mendengar konsert yang melalaikan, bercampur lelaki dan perempuan yang bukan mahram, dan berteriak bertempik tak tentu hala. Daripada membuang masa, marilah mendengar ceramah.

Jangan lupa bawa sejadah bersama. :)

More Articles...

Page 1 of 11

Start
Prev
1

Undi

Siapakah yang tokoh yang anda paling hormati?

Suka YOP?

mrarun10's avatar
Mohd Azhar Sulaiman mrarun10
  • bio:
    Thinking about business
  • location:
    Malaysia
  • updates:
    115
  • followers:
    52
  • following:
    37
Loading...

Last 4 tweets from mrarun10:

People talking about '@mrarun10':

Penafian: Pihak YOP tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini. Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 8.0 atau Mozilla Firefox 3.0 atau Safari dengan resolusi 1024 x 768

Page Rank Check Increase your website traffic with Attracta.com